SKM dan DKM Kini Diiktiraf untuk Perkhidmatan Awam
Pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dalam sektor perkhidmatan awam telah membuka ruang yang lebih luas kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk membina kerjaya dalam sektor kerajaan. Melalui pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) 2024, pemegang SKM kini layak memohon sehingga 57 skim perkhidmatan Gred 1, manakala pemegang DKM layak memohon sehingga 13 skim perkhidmatan Gred 5, selaras dengan syarat kelayakan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Perkembangan ini mencerminkan pengiktirafan yang semakin kukuh terhadap TVET sebagai laluan pendidikan dan kerjaya yang setara dengan laluan akademik. Pengiktirafan tersebut bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan berkemahiran, malah memperkukuh usaha kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja yang kompeten, profesional dan berdaya saing. Sehubungan itu, TVET terus berperanan sebagai pemangkin pembangunan modal insan negara serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemajuan perkhidmatan awam Malaysia.